“Kehidupan di dunia adalah
wasilah untuk mencapai matlamat utama di negeri abadi. Sudah pasti matlamat
yang diingini merupakan redha Allah swt dan nikmatNya yang tidak terbayang dek
imaginasi. Tiada siapa mahu hidupnya diakhiri azab keras akibat murka Allah
swt. Boleh jadi hidup yang tiada matlamat, tiada juga di dalamnya usaha-usaha
meraih apa jua bentuk kejayaan. Tanpa mengetahui matlamat yang dituju, sangat
payah bagi menyelusuri jalan-jalan kehidupan yang banyak persimpangan juga
penuh halangan. Jelas sekali, matlamat yang benar dan nyata mampu memberi petunjuk
ke arah jalan yang betul. Matlamat mencari redha Allah menggerakkan hambaNya
kepada amalan soleh dan usaha untuk istiqamah melakukannya.”
Buku catatan ditutup lantas lengan baju disingsing sambil
kaki melangkah menuju ke dapur. Cukup saja rehat 10 minit. Tanggungjawab tidak
dirasakan beban kerana sudah menjadi rutin harian. Namun, rutin diiringi niat lillahi taala akan dianugerahi pahala
dengan izinNya. “Hari ni nak masak apa ya?” Otakku ligat memikirkan resepi yang
bakal menjadi juadah makan malam kami. Lama juga kutercegat di hadapan peti
sejuk memerhatikan bahan mentah yang ada. “Masak special la,” kubermonolog sendirian sambil tersenyum. Memang itulah
jawapan standard jika ditanya tentang
kehendaknya. Alhamdulillah suami tak
cerewet. Penat macam mana pun dengan urusan harian, terasa lega apabila dapat
menggembirakan hati suami.
Sambil menghiris bawang, kotak memori ini sempat memutar
kembali isi perbincangan usrah pagi tadi. ‘Haruman Raihan’ tajuk yang sangat
indah. Teringat sebuah hadis di mana Rasulullah saw pernah bersabda;
“Jika seorang
perempuan solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya,
mentaati suaminya, maka akan dikatakan padanya, “Masuklah engkau ke syurga dari
pintu mana saja yang engkau inginkan.” (Hadis Riwayat Ahmad)
“Subhanallah..” Jalan
sudah dipermudahkan oleh Allah swt. Cuma iblis dan sekutunya tidak pernah
berputus asa memalingkan manusia daripada kebenaran. Dan malang sekali manusia
mudah terjerumus ke dalam jerat iblis padahal betapa banyak peringatan Allah
swt tentang syurga dan neraka, dosa dan pahala, serta nikmat dan azab seksa. Allah
swt itu sangat hampir tetapi hambaNya selalu lupa. Takkan dalam sehari hanya 5
kali kita ingat pada Maha Pencipta? Itu pun kalau fikiran tidak menerawang
memikirkan hal duniawi ketika solat. Tinggal jasad sahaja rukuk dan sujud.
Tanpa ruh hilang maknanya. Bagaimana redha Allah hendak menghampiri?
“Astaghfirullah..” Jarang
sekali kita menghayati ibadah dan memahami segala amalan yang dilakukan. Solat
ada cela, puasa kurang sempurna, di situ perlunya ilmu bagi menampung
lompang-lompang agar tidak terjatuh ke dalam jurang kejahilan.
“Bismillah,” sebutku sambil menuang minyak ke dalam kuali
perlahan-lahan. Apabila panas, kutumis bahan kisar. Kutunggu sehingga naik
baunya. Potongan ayam di dalam bekas plastik di basuh sekali lagi lalu
kumasukkan ke dalam kuali. Pesanan Kak Wan masih berlegar difikiran.
Wanita itu fitrahnya cantik dan menarik. Apabila fitrah itu
berada di luar tujuannya diciptakan, jadilah ia fitnah terbesar. Aurat tidak
dijaga dengan elok dan meringan-ringankan bab mahram dek kerana kurang
pengetahuan. Batasan pergaulan antara lelaki dan wanita dilanggar. Hilangnya
kehormatan dan harga diri seorang wanita bukan kerana sesiapa tetapi puncanya
datang daripada diri sendiri.
Setelah Allah dan RasulNya, suamilah yang perlu diletakkan
taat padanya oleh seorang isteri. Mudah pada percakapan, payah pada perbuatan. Institusi
kekeluargaan senja ini sangat rapuh disebabkan asas hubungan yang dibina bukan
berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Fenomena ‘queen control’ dan ‘suami dayus’ banyak diperkatakan. Sebagai
seorang isteri, redha suami membawa kepada redha Allah swt. Taatlah selagi tidak membawa kepada
kemaksiatan. Kepatuhan seorang isteri itu merupakan kunci kelembutan hati
seorang suami.
“Harap masakan ni sedap, mengenyangkan dan syifa’ bagi kami,” kuberdoa dalam hati.
Kuah sudah hampir siap. Kuambil mi untuk dicelur ke dalam bekas berisi air
panas. Jam di dinding menunjukkan pukul 5.30 petang. Ini bermakna suamiku akan
pulang lebih kurang 45 minit lagi. Sambil menyiapkan hidangan sampingan,
kuteringat akan kata-kata Saidina Ali bin Abi Thalib ra;
“Sebaik-baik
perempuan adalah yang wangi aromanya dan yang lazat masakannya. Jika dia
menafkahkan kerana suatu tujuan dan jika dia menahan juga kerana suatu tujuan.
Perempuan seperti itu adalah termasuk pekerja Allah dan pekerja Allah tidak
akan kehilangan harapan.”
Makanan sudah siap. Cepat-cepat kupergi membersihkan diri.
Mandi itu juga dapat menyegarkan badan yang keletihan agar lebih bertenaga. “Hmm..nak
pakai baju apa ya?” Soalan biasa seorang wanita sepertiku. Kubelek-belek
pakaian di dalam almari. Akhirnya, blouse
merah menjadi pilihan. Tambahan pula, itu warna kegemaran si dia. Duduk di
hadapan meja make-up sambil
berdandan, tak sedar jam sudah menunjukkan pukul 6.15 petang. Kuterdengar
deruman enjin kereta memasuki perkarangan rumah. Dengan segera kaki melangkah
menuruni anak tangga menuju ke ruang tamu. Saidatina Aisyah ra ketika ditanya;
“Siapakah perempuan
yang paling baik?” Dia menjawab, “perempuan yang paling baik adalah perempuan
yang tidak mengucapkan kata-kata aib dan tidak tergoda dengan makar lelaki,
perempuan yang bersih hatinya kecuali berhias untuk suaminya dan tetap menjaga
kehormatan keluarganya.”
Sememangnya lidah diciptakan tidak bertulang. Ia bukan
bermakna kita boleh bercakap tanpa tapisan sehingga melukakan hati manusia lain
lebih-lebih lagi orang yang sentiasa hampir dengan kita. Kata adalah cerminan
hati. Kata juga memberi kesan kepada hati. Ungkapan kebaikan lahir dari hati
yang bersih, tanpa dendam, tanpa prasangka buruk mahupun perasaan benci.
Apabila perkataan yang keluar dari mulut itu adalah ungkapan kebaikan, pasti
terbit rasa gembira dan tenang pada hati-hati yang mendengarnya termasuklah
hati sendiri.
Rumahtangga yang dihiasi kata-kata sayang akan sentiasa
harmoni malah mendekatkan lagi redha Allah swt kepada siisi keluarga. Sesungguhnya,
keredhaan itulah yang membawa kepada kebahagiaan. Kebahagian tidak hadir kerana
kekayaan, tidak diukur pada kepandaian, tidak pula dilihat pada kecantikan.
Isteri yang cantik adalah anugerah Allah swt. Dan sememangnya seorang isteri perlu
menghiasi diri di hadapan suami, menjaga mata suami daripada melihat keburukan
sama ada pandangan luaran mahupun tingkah laku perbuatan. Hasan al-Basri pernah
berkata;
“Orang yang wajahnya
bagus hendaklah jangan berbuat buruk dan orang yang wajahnya buruk jangan
sampai mengumpulkan dua keburukan.”
“Assalamualaikum..abang
dah balik.” “Waalaikumsalam,” balasku
bersama sekuntum senyuman. Kujabat tangannya lantas kucium sebagai tanda
kuingin redhanya yang akan membawaku kepada redha Allah swt. “Abang pergi mandi
dulu ya. Sayang nak siap-siap hidang makanan. Lepas tu, kita dinner sekali,” ucapku lembut.
“Wah, mesti sedap ni,” tegur suamiku sambil membetulkan
kedudukannya di kerusi. Sedang tanganku mencedok kuah dan meletakkan mangkuk di
hadapannya, sempat lagi kulayan tegurannya, “mestilah sedap. Sayang masak Mee
kari. It’s your favourite.” Berselera sungguh suamiku menikmati makanan
kegemarannya. Banyak juga cerita yang kami bualkan di meja makan. Selesai
semua, bergotong-royonglah kami membasuh pinggan mangkuk di dapur.
“Alhamdulillah.. Sedap
sayang masak. Sayang pun terlebih cantik petang ni.” Tersenyum simpul
kumendengar usikannya. “Terima kasih. Isteri abang kan memang cantik,” balasku
selamba. Waktu maghrib sudah hampir, seperti biasa kami bersiap-siap untuk
menunaikan fardhu maghrib berjemaah. Tiba-tiba, suamiku menghulurkan satu
bungkusan dibalut kemas. Wajahku penuh tanda tanya. Dia mengisyaratkan kubuka
bungkusan tersebut. Hadiah untukku katanya.
“Lawanya baju ni. Pandai abang pilih,” kuberterima kasih
padanya. Perasaan terharu tergambar di wajah, tak dapat kusembunyikan. “Sayang
pakai baju tu malam ni, okey?”
Matanya dikenyitkan sebelah sahaja. “Okey,
everything for you,” jawabku manja lantas kukucup pipinya. Terasa haruman
raihan memenuhi ruangan hidupku.
No comments:
Post a Comment