Wednesday, May 12, 2010

Sub1: Pengembaraan Fil & Kajian Makmal Rheufiey


‘Bip!Bip!Bip!’ Kelihatan Transjet Micro07 Rheu2032 selamat mendarat di Lapangan Rheutaz. ‘Zuss!’ Pintu utama terkuak. Langkahan Amartius Fil disambut lambaian Amartius Neis, teman setia Makmal Rheufiey. “Apa khabar Fil? Mesti penat, mari rehat dulu sebelum berjumpa Presiden Zaf”, sapa Neis dengan senyuman ceria. “Penatlah sikit. Perjalanan 500trans sesaat, tak pernah aku kembara selaju itu. Ini gara-gara rasa rindu pada Rheuamourrhefallous, tanah airku”, balas Fil sambil menuju ke Ruang Rheusis.

Di Persada Rheufallous, kesemua 10 amartius telah siap sedia menunggu mengelilingi meja persidangan. ‘Zuss!’ Pintu Persada terbuka lantas kelibat Presiden Zafranizfaizurhan menjelma masuk, diiringi Sekretariat Rinassilanisril bersama 2 armada menjaga keselamatan. Serentak semua amartius berdiri tanda hormat. Dengan penuh semangat Presiden Zaf berbicara,“Selamat pagi semua. Seperti yang termaktub dalam Perancangan Cyfitrans, pagi ini kita sangat mengalu-alukan ketibaan Amartius Fillusirfisarfishanis diiringi Amartius Neissafrinellafienna”. Muncul kedua-duanya masuk ke Persada disambut tepukan gemuruh para amartius.


“Terima kasih Presiden Zaf, Sekretariat Rin serta teman amartius sekalian”, Fil memulakan persidangan. “Tanpa lengah, ingin saya persembahkan hasil kajian Makmal Rheufiey terhadap Perancangan Cyfitrans ke-16, kajian yang meliputi species Homosapiens. Dipersilakan Amartius Neis untuk mengendalikan Cyfiscreen”. Neis mengangguk tanda sedia dengan tugasnya .

“Seperti yang kalian dapat lihat menerusi Cyfiscreen masing-masing, kajian kami terhadap Homosapiens atau lebih dikenali sebagai manusia dispesifikasikan di Khatulistiwa 108’T. Jangka masa meliputi 3 generasi kehidupan alam manusia. Bahan kajian pula difokuskan kepada satu blok yang digelar sebagai keluarga. Kriteria kajian merangkumi segala tindakan dan bicara yang dikaitkan dengan perasaan bahan kajian”, Fil mengambil nafas panjang sebelum menyambung.

“Apa yang menarik tentang blok ini adalah objek yang sama komposisi penciptaannya dan kajian ini saya fokuskan lagi kepada objek tersebut sebagai bahan utama kajian”. “Apakah objek tersebut?” Celah Amartius Dur, ingin tahu lebih mendalam. “Di alam manusia dinamakan wanita atau perempuan. Ya, bahan kajian saya adalah wanita di dalam sebuah keluarga yang hidup di kawasan Asia Tenggara. Jelas?” Soal Fil. Semua mengangguk tanpa suara termasuk Presiden Zaf yang dari tadi khusyuk mendengar.

Selesai bahagian introduksi topik, kini Fil menerangkan kisah pengembaraannya. “Wanita sangat istimewa dari segi penciptaannya. Hanya wanita yang diamanahkan untuk mengandungkan zuriatnya, melahirkannya dan menyusukannya”. “Apa yang menarik bagi kamu?” Sampuk Amartius Kay, inginkan penjelasan. “Dalam pemerhatian saya, amanah yang ditanggung itu adalah sangat berat dan dalam kepayahan itu, dia sangat tabah menghadapinya. Proses mengandung mengambil masa 9 bulan 10 hari. Dalam jangka waktu itu, pergerakannya sangat terbatas, makan minum sangat perlu dijaga, kesihatan diri dan zuriat perlu kerap dipantau oleh pakar. Namun, tugasnya dalam keluarga tetap tidak diabaikan. Memasak, memberi makan, membasuh, dan mengemas terus dilaksanakan tanpa keluhan mahupun rungutan”.

“Pada 4 Februari 1967, bahan kajian iaitu wanita, melahirkan zuriatnya buat kali keenam. Saya berada di ruang kejadian ketika itu. Proses melahirkan itu ternyata bukan mudah. Melihat wajah yang dibasahi peluh sahaja sudah menggambarkan kepayahan yang dialami. Bukan itu sahaja, melihat darah yang mengalir sudah membuktikan kesakitan yang sedang ditanggung. Proses tersebut memakan masa yang lama juga, lebih kurang 4 jam dia bermandi peluh. Apabila suara tangisan bayi kedengaran, terukir senyuman di wajahnya bagaikan hilang rasa sakit tadi.”

“Kemudian disusukan zuriatnya sehingga mencecah 2 tahun. Zuriatnya perempuan. Diasuhnya sehingga menjadi seorang remaja yang lincah. Wanita itu bagaikan tidak pernah jemu. Zuriatnya 9 orang semuanya. Semua dijaga dengan baik, cukup makan minum, pakaian dan pembelajaran. Di usia yang lanjut juga, dia masih keluar mencari rezeki, menoreh getah sebagai sumber kewangan. Besarnya pengorbanan wanita itu tak padan dengan tubuhnya yang kecil. Walaupun hidup dalam kekurangan, suasana keluarga yang harmoni menyebabkan segalanya serba sempurna”.

Sepi Persada mendengar bicara Fil. Semua asyik melayan pemikiran sendiri. Masing-masing bagaikan terpaku dengan paparan Cyfiscreen yang mempamerkan kegigihan kehidupan seorang manusia bernama wanita. Fil diam sejenak, memberi peluang kepada semua temannya menghayati dan merasai apa yang ingin disampaikannya.

Tiba-tiba, paparan Cyfiscreen bertukar warna. Tertera tulisan hijau. Fil yakin semua memahami apa yang tertulis, jadi dibiarkan sahaja mereka membaca tanpa suara.


Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepadaKulah kembalimu. - Luqman:14 -








Paparan Cyfiscreen kembali kepada perjalanan asal. Kali ini masanya 16 Julai 1989. “Adakah Presiden Zaf dan teman amartius masih ingat akan zuriat perempuan yang lahir dalam perjalanan saya sebelum ini?” “Ingat!” Jawab Presiden Zaf, semangat. “Kali ini, pengembaraan saya meniti detik-detik kehidupan wanita ini pula. Pada tarikh ini, wanita ini melahirkan zuriatnya yang sulung. Di bilik bersalin Hospital Tengku Ampuan Rahimah, kelihatan wanita ini mengerang kesakitan. Di ambang malam tatkala orang lain dibuai mimpi, dia menyabung nyawa menyerah segala ketentuan pada Ilahi. Teman disisinya berusaha menenangkannya namun berat ujian yang dipikul hanya dia yang tahu. Sejam sebelum waktu Subuh, sudah kedengaran laungan azan, perlahan disamping bayi perempuan yang baru menjengah alam dunia”.

“Pengembaraan dipercepatkan 15 tahun. Tahun 2004 memaparkan kehidupan wanita ini bersama 3 orang zuriatnya. Melalui kajian saya, pada tahun tersebut 2 orang zuriatnya akan menghadapi 2 peperiksaan pendidikan yang besar, satu dinamakan PMR dan satu lagi UPSR. Kelihatan yang cuak adalah wanita tersebut seperti dia pula yang menghadapi peperiksaan. Setiap hari, dia memberi motivasi kepada kedua-duanya. Kadang-kadang, mereka hanya buat endah tak endah terhadap nasihat yang diberikan namun, wanita itu tetap memberi dorongan saban hari”.

“Dalam jangka masa tahun tersebut, wanita itu sangat rajin dalam ibadahnya. Dia mengerjakan haji, selalu berpuasa sunat dan kerap bangun malam. Saya sedikit hairan, lantas saya menyelidik dengan lebih dekat. Sekitar satu sepertiga malam pada hari minggu, dia melaksanakan qiamullail. Seusai solat sunat hajat, wanita itu bertafakur dan memanjatkan doa pada Rabbnya. Walaupun nada suara yang gemersik, saya masih dapat menangkap bait-bait bicaranya bersama Rabbul ‘Izzati”.

“Ini bait-bait doanya”. Paparan Cyfiscreen sekali lagi berubah wajah.



Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar. Dengarlah pengaduan dan permintaan hambaMu yang kerdil ini. Ampunilah dosaku, dosa suamiku, dosa anak-anakku, dosa saudara-maraku dan sekalian muslimin. Ya Allah, sesungguhnya anak-anakku akan menghadapi peperiksaan tak lama lagi. Bersihkanlah hati-hati mereka supaya cahaya ilmu sampai kepada mereka. Jauhkanlah mereka daripada bisikan syaitan dan nafsu amarah. Jadikanlah mereka hamba yang taat kepadaMu. Jadikanlah mereka anak yang soleh dan solehah. Jadikanlah mereka orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Ya Allah, aku bukannya lulusan menara gading, ilmuku tidak setinggi mana. Aku tidak dapat membantu anak-anakku dalam pembelajaran, yang mampu kulakukan hanya berdoa kepadaMu demi kejayaan mereka. Kauterimalah hajiku, solatku, puasaku, nazarku, semua kulakukan untuk anak-anakku, demi redhaMu. Aku tidak mampu menjadi guru mereka, yang terdaya hanyalah khidmatku kepada mereka di dalam rumah ini. Oleh itu, Kauberilah kesihatan dan kekuatan kepadaku untuk terus menabur khidmat buat anank-anakku. Ya Allah, hanya padaMu aku sujud dan padaMu aku meminta pertolongan. Makbulkanlah permintaanku Wahai Yang Maha Pemberi Nikmat dan Yang Maha Berkuasa ke atas segala-galanya.




“Kelihatan air jernih menitis membasahi pakaiannya. Sungguh terharu suasana ketika itu menyebabkan saya pun turut dihanyut perasaan hiba. Setelah itu, baru saya sedar niat sebenar wanita itu. Sangat murni. Itulah erti kasih sayang sebenar”. Kelihatan beberapa amartius mengesat mata berusaha mengekang air jernih dari tertumpah.

No comments:

Post a Comment