Seorang pemegang jawatan di Kementerian Luar Negeri Perancis suatu ketika dahulu pernah menyuarakan pendapatnya ; "komunis bukanlah ancaman bagi Eropah. Menurutku, ia hanyalah kepanjangan mata rantai sebelumnya. Jika berbahaya, maka hanya bahaya politik-ketenteraan, bukan bahaya peradaban yang menyebabkan sendi-sendi pemikiran dan kemanusiaan kita menjadi hancur. Bahaya sebenarnya yang mengancam kita secara langsung adalah bahaya Islam. Kerana, kaum muslimin adalah sebuah dunia yang bebas secara total dari dunia Eropah. Umat Islam memiliki warisan semangat jiwa yang unik. Mereka juga memiliki peradaban sejarah yang murni. Sehingga mereka layak untuk mendirikan tiang-tiang penyangga bagi dunia baru tanpa memerlukan proses westernisasi."
Hakikat sebenar sudah jelas. Perancangan licik musuh-musuh Islam sudah berakar umbi beribu tahun lamanya. Tidak senang dengan kewujudan Islam, mereka tidak berdiam diri malah mengatur strategi menyerang umat Islam dari setiap penjuru. Sedar atau tidak, sasaran utama adalah pemimpin kepada umat Islam. Sistem khilafah berjaya ditewaskan pada tahun 1924 angkara musuh Islam. Strategi mereka tidak terhenti takat itu sahaja. Mereka sehabis daya ingin mengelakkan bangkitnya pemuda- pemuda Islam melontarkan slogan jihad menentang mereka. Seumpama semangat Tariq bin Ziyad, sebagaimana bangunnya Salahuddin al-Ayubi, seperti mana bangkitnya Muhammad al-Fatih.
Musuh bergerak di bawah selimut. Sememangnya tidak disedari. Masakan tidak, dibuai lena yang panjang, hanyut dengan mimpi duniawi. Kita sedang diserang. Suatu serangan yang tidak kelihatan di pandangan, hanya nampak di akal bagi mereka yang berfikir. Serangan pemikiran sudah lama menceroboh jiwa anak muda masa kini. Pemuda- pemuda dilalaikan dengan hedonisma, kepercayaan ekstrem, gangsterisma, dan pelbagai aktiviti yang menghanyutkan diri ke lembah maksiat. Mereka sudah buta dengan ilmu, kabur dengan sejarah, leka dengan hiburan, lupa terhadap Islam. Ini yang musuh idamkan. Menghapuskan rasa keinginan generasi muda kepada kebangkitan Islam, supaya di masa hadapan Islam akan pupus di mata mereka.
Manusia sekarang lebih gemar memikirkan kepentingan peribadi. Privasi katanya. Tidak lain 'umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing- masing'. Tidak mengendahkan masyarakat sekeliling, takut diumpat suka menjaga tepi kain orang. Barah 'tidakpedulisma' semakin kronik melanda masyarakat khususnya pemuda masa kini. 'Aku adalah aku, engkau adalah engkau', usah dicampuri urusan dunia mahupun akhirat. Ini yang musuh nantikan. Tidak akan lahir dari kalangan pemuda seorang pemimpin yang membawa arus perubahan, yang ada hanyalah pemimpin- pemimpin boneka yang mengikut telunjuk musuh- musuh Islam, bagi menghancurkan ketamadunan Islam sendiri.
Lihatlah jiwa- jiwa muda sekarang. Refleksilah pemuda- pemuda zaman ini. Usah pandang jauh. Tengok sahaja prestasi diri. Beranikah aku menjadi pemimpin? Pemimpin yang akan memasakkan tiang- tiang Islam di dasar bumi. Pemimpin yang akan mewujudkan gelombang perubahan dalam masyarakat. Pemimpin yang akan menakhodai bahtera jiwa- jiwa pemuda demi menegakkan kebenaran dan melenyapkan kefasadan. Pemimpin yang punya cita untuk menguasai dunia. Kita tidak boleh lemah.
Sasaran mendaulatkan Islam di muka bumi bukan matlamat kecil. Misi kita misi besar. Ingin mewujudkan kembali sistem khilafah agar Islam dapat menguasai dunia. Berjayakah matlamat ini tanpa kepimpinan?
"Jika tiga orang keluar dalam suatu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah satu daripadanya sebagai pemimpin" (Hadis riwayat Abu Daud)
Jika dalam kumpulan yang sedikit pun Nabi kita menasihatkan agar melantik seorang pemimpin, apalagi bagi kumpulan yang besar. Lebih-lebih lagi apabila ingin merealisasikan sebuah matlamat yang besar.Ibnu Taimiyah dalam kitabnya 'Siyasah Syar'iyyah' menjelaskan, "wajib diketahui bahawa mentadbir perkara manusia termasuk kewajipan agama teragung, bahkan agama Islam tidak bernilai tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan umat manusia hanya akan dicapai dengan sempurna melalui jemaah (perkumpulan). Dan ketika berkumpul, mereka harus memiliki pemimpin." Sesuai dengan tujuan penciptaan manusia sebagai khalifah Allah swt untuk mentadbir alam, umat Islam harus akur akan kepentingan kepimpinan yang bersifat mendidik agar dunia merasai nikmat iman dan Islam yang benar. Sesungguhnya 'Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya'.
Sumber: 'Jundullah', 'Qiadah Muaththarah'
No comments:
Post a Comment