Sunday, March 14, 2010

Sub1: BERSEDIA Sebelum Musuh Bersatu

.
Dalam arena perjuangan Islam, kita tidak boleh lari daripada diuji dari segenap penjuru. Jalan dihadapan kita bukanlah hamparan permaidani merah yang menjanjikan nama dan harta. Jalan yang dilalui hakikatnya penuh mehnah dan tribulasi. Ujian hadir dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan dan hanya orang yang hatinya ikhlas dalam memperjuangkan Islam sahaja yang akan terus thabat menempuhinya.


Imam Hassan al-Banna memegang erat tangan Umar at-Tilmisani (Mursyid 'Am ke3) lalu berbicara mengajaknya barada dalam satu saf perjuangan, “Kamu mahu atau tidak? Kalau kamu mahu, aku jamin di hadapanmu adalah tentangan. Kalau kamu tak mahu, terpulanglah kepadamu”. Tanpa ragu, Umar at-Tilmisani membalas,”aku mahu”. Sesungguhnya hati mereka yang yakin akan janji Allah, tiada tembok yang boleh menjadi penghalang daripadanya terus mara mendepani musuh-musuh Islam.

Sirah Rasulullah saw dan para sahabat melakarkan seribu satu realiti tarbiyah berterusan para pejuang Islam dalam menegakkan syiarNya di muka bumi ini. Musuh-musuh Islam berada di mana-mana menanti peluang untuk memadamkan api perjuangan yang dibawa oleh Muhammad saw serta pengikut Baginda. Pasca Perang Badar memperlihatkan empat kelompok yang tidak senang dengan kemenangan kaum muslimin.


Pertama, mereka yang secara langsung mendapat kerugian iaitu kaum musyrikin Mekah.

Kedua, orang yang memandang kemuliaan dan kemenangan kaum muslimin sebagai pukulan maut terhadap agama dan ekonomi mereka. Mereka adalah kelompok yahudi Madinah dan terikat dengan perjanjian damai dengan kaum muslmin melalui Piagam Madinah.

Ketiga, orang-orang munafiq. Mereka merasa disaingi dengan kehadiran Rasulullah saw dan para sahabat di Madinah. Kemarahan Abdullah bin Ubay dan teman-temannya ini sebenarnya lebih besar daripada dua kelompok di atas. Secara zahir, mereka sama dengan kaum muslimin namun, secara batin api amarah dan benci sedang marak menyala dalam jiwa mereka.

Keempat, kabilah-kabilah yang tinggal di sekitar Madinah. Masalah kekufuran dan keimanan bukanlah perhatian mereka. Mereka ini hanya khuatir jika Madinah berdiri sebagai suatu negara yang kuat yang mampu mengganggu gugat kewujudan mereka.


Keempat-empat kelompok ini tidak bergerak sendiri. Dalam banyak hal mereka bekerjasma asalkan matlamat mereka tercapai dan kepentingan mereka terjaga. Menyedari hakikat ini, kewaspadaan kaum muslimin harus diletakkan pada tahap yang tinggi. Kecerdasan dan kepimpinan Rasulullah saw terserlah apabila strategi pertama yang Baginda lakukan adalah menjaga kewibawaan kaum muslimin. Tidak boleh ada suatu kesempatan kecil untuk musuh datang menjengah yang boleh mengurangi kewibawaan mereka. Sekecil mana gerakan yang muncul harus segera dipadamkan.


Pasukan Bani Salim daripada kabilah Ghaftan yang bercita-cita menyerang Madinah dihapuskan oleh kaum muslimin. Yahudi Bani Qainuqa’ diusir dari Madinah kerana mengganggu ketenteraman kaum muslimin secara berterusan. Abu Sufyan dan pasukannya yang bermaksud menyusup ke Madinah dikejar sehingga mereka lari bertempiaran meninggalkan ‘sawiq’(tepung) dalam Perang Sawiq. Beberapa orang yahudi yang mempersendakan Islam seperti Abu Afak, Asma binti Marwan, Ibn Sunainah dan Ka’ab bin Asyraf pun dibunuh.


BERSAMBUNG...


Sumber : Buku 'Belajar Dari Dua Umar' -Hepi Andi Bastoni

No comments:

Post a Comment