Monday, March 15, 2010

Sub 2: BERSEDIA Sebelum Musuh Bersatu

.
Bumi terus berputar, masa terus beredar, zaman terus bertukar namun, situasi yang mendepani umat Islam era ini tidak jauh beza dengan kondisi yang dihadapi Rasulullah saw dan para sahabat 1400 tahun sebelum ini. Jika dahulu wujud musyrikin Quraisy dengan segala daya mahu memadamkan cahaya Islam, begitu jugalah yang berlaku saat ini. Dakwah Islam ditentang semampu tenaga yang ada. Usaha untuk melaksanakan syariat Islam sebagai landasan hukum akan segera dihalang. Permusuhan golongan ini jelas kerana dasar ideologi mereka bukan Islam.

Muncul juga golongan lain yang tidak rela umat Islam berkuasa. Bukan hanya kerana perasaan iri dan dengki, tetapi jua takut jika mereka tidak mendapat sebarang kedudukan. Keinginan mereka seperti keinginan yahudi. Mereka ingin berkuasa sebagaimana mereka telah berkuasa sebelumnya.

Golongan seterusnya adalah suatu kelompok yang mendukung Islam secara lahiriah. Walaubagaimanapun, realitinya mereka tidak mahu kaum muslimin berkuasa. Boleh jadi nama kelompoknya adalah Islam, tetapi visi, misi dan sasaran perjuangan mereka bukan demi Islam. Oleh itu, segala usaha penerapan Islam perlu dicantas. Tujuan mereka terjun ke dunia siasah hanyalah untuk mengejar jawatan dan kekuasaan. Ada agenda yang ingin mereka kejarkan.

“Berusaha menangguk di air keruh”. Konsep peribahasa yang persis dengan golongan terakhir. Secara prinsip mereka tidak bermusuhan langsung dengan Islam namun, kebimbangan mereka jika kaum muslimin berkuasa, mereka tidak memperoleh kekuasaan ataupun mereka tersingkir.

Ajaran Islam akan terus dihalang. Musuh-musuh Islam tidak segan-segan mengganggu kaum muslimin sama ada melalui pemikiran, lisan, juga fizikal. Umat Islam perlu lebih berhati-hati. Dengan membawa fahaman sosialisma, liberalisma, komunisma, dan sekularisma, golongan ini tidak akan bergerak sendiri-sendiri. Kewaspadaan umat Islam harus dipertingkatkan. Sebab, mereka akan bersatu.

Kisah Perang Khandaq memaparkan kerjasama kafir Quraisy, yahudi, munafiq dan kabilah-kabilah di sekitar Madinah. Perbezaan ideology bukan alasan bagi mereka untuk berpecah. Jika tiba saatnya, kesatuan wujud diantara mereka untuk menghalang umat Islam. Jika dahulu, kewibawaan kaum muslimin sangat-sangat dijaga. Apa jua usaha untuk melenyapkan kaum muslimin tidak akan dibiarkan muncul. Ini yang harus dilakukan. Umat Islam tidak boleh tertipu. Setiap gerakan berbahaya yang timbul di permukaan, patut dicegah sebelum ianya berkembang biak. Kewibawaan umat Islam harus diperkasa. Agar ketika musuh bersatu datang menyerang, umat Islam sudah bersedia menghalang.


Sumber: Belajar Dari Dua Umar, Ar-Raheequl Makhtum

No comments:

Post a Comment