Sabda Rasulullah s.a.w:
“Doa itu senjata bagi orang Mukmin”
Doa yang terbaik adalah doa para nabi dan rasul. Doa mereka terkandung di dalam al-Quran yang tertulis sebaik-baik susunan ayat munajat kepada Allah s.w.t., ayat-ayat yang mengagungkan Yang Maha Esa.
Abu Ali Abd. Rahman bin Muhammad al-Naisaburi meriwayatkan dalam kitab Fawaid, bahawa al-Barra’ r.a. pernah bertanya kepada Sayidina Ali r.a. agar memberitahu tentang amalan yang paling hebat dipelajarinya daripada Nabi s.a.w. Beliau menjawab: “Nabi mengajarku agar membaca ayat-ayat terakhir surah al-Hasyr dan 10 ayat pertama daripada surah al-Hadid. Kemudian mintalah kepada Allah apa yang kamu hajatkan.Ini kerana ayat-ayat tersebut mengandungi al-Ismul a’zam. Jika dipanggil dengannya akan dimakbulkan Allah”.
( Al-Durrul Manthur, tafsir surah al-Hasyr ayat ke-21 )
“Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir”. (al-Hasyr: 21)
Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dalam tarikhnya, bahawa Abu Nuaim meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: “Apabila kamu sampai kepada ayat ‘Lau Anzalna’, maka letakkanlah tanganmu di atas kepalamu kerana Jibril memberitahu kepadaku bahawa ia merupakan penawar kepada semua penyakit melainkan mati”.
( Al-Durrul Manthur, tafsir surah al-Hasyr ayat 21-24 )
“Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengaruniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepadaNya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (al-Hasyr: 22-24)
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang membaca al-Ta’awuz sebanyak tujuh kali dan tiga ayat terakhir daripada surah ini, maka Allah s.w.t. akan mengutuskan 70 ribu malaikat untuk mendoakannya hingga ke petangnya. Jika dia mati, dikira sebagai syahid. Demikianlah pula jika dia membacanya pada sebelah petangnya”.
( HR Ahmad dan al-Darimi serta al-Tirmizi dan dianggap sebagai hasan olehnya)
Iringilah setiap langkah dan tindakan dengan doa. Berdoalah dengan penuh pengharapan kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah tidak pernah jemu mendengar permintaan hambaNya yang soleh. Jika tidak tertunai di dunia, pasti akan dimakbulkan di akhirat kelak. InsyaAllah..
Iringilah setiap langkah dan tindakan dengan doa. Berdoalah dengan penuh pengharapan kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah tidak pernah jemu mendengar permintaan hambaNya yang soleh. Jika tidak tertunai di dunia, pasti akan dimakbulkan di akhirat kelak. InsyaAllah..
Sumber: ‘101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran, Khasiat & Kaifiat Beramal’ (Ust. Hj. Zahazan Mohamed)
No comments:
Post a Comment