Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Apabila pemuda tersebut melihat Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, “Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepadaNya”. Berkata Nabi Isa a.s, “Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk satu Jarrah itu”. Pemuda itu berkata lagi, “Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah”.
Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah s.w.t, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, “Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepadaMu”. Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.
Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda tersebut, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan salah seorang yang berada di situ berkata bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.
Setelah Nabi Isa a.s mendengar penjelasan orang-orang di situ, maka beliau pun berdoa kepada Allah s.w.t, “Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu”. Selesai sahaja berdoa, maka Nabi Isa a.s pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.
Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa a.s berkata, “Aku ini Isa a.s”. Kemudian Allah s.w.t menurunkan wahyu yang berbunyi, “Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepadaKu. Demi Keagungan dan KeluhuranKu, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya”.
Barangsiapa yamg mengakui 3 perkara tetapi tidak menyucikan diri dari 3 perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu :
1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.
Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Akan datang waktunya umatku akan mencintai 5 lupa kepada yang 5 :
1. Mereka cinta kepada dunia, tetapi mereka lupa kepada akhirat.
2. Mereka cinta kepada harta benda, tetapi mereka lupa kepada al-hisab.
3. Mereka cinta kepada makhluk, tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq.
4. Mereka cinta kepada dosa, tetapi mereka lupa untuk bertaubat.
5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah, tetapi mereka lupa kepada kubur.
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
ReplyDeleteKatakanlah (Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Ali Imran: 31)
Cinta Allah dan Rasulullah s.a.w, cinta teragung yang perlu dicari. Ada jalan-jalannya, ada bukti-buktinya.
Hadis ke-38 (Hadis 40 Imam Nawawi)
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman - dalam Hadis qudsi : "Barangsiapa memusuhi kekasihKu, maka Aku memberitahu-kan padanya bahawa dia akan Kuperangi - Kumusuhi.
Dan tidaklah seseorang hambaKu itu mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang amat Kucintai lebih daripada apabila dia melakukan apa yang telah Kuwajibkan kepadanya. Dan tidaklah seseorang hambaKu itu mendekatkan diri kepadaKu dan melakukan hal-hal yang sunnah sehingga akhirnya Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Akulah telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang dia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk mengambil dan Akulah kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Andaikata dia meminta sesuatu padaKu, pastilah Kuberi dan andaikata memohonkan perlindungan padaKu, pastilah Kulindungi." (Riwayat Bukhari)