Dalam hati tersimpul cinta
Bagai dunia aku yang punya
Sungguh sulit mendefinisi bahagia
Hanya yang merasa memahaminya
Musim cinta datang sudah. Ceritera
biasa muda-mudi dan remaja. Fitrah manusia ingin mencintai juga dicintai. Adam
perlukan Hawa, Hawa perlukan Adam. Namun, fitrah perlu dibajai iman, hati perlu
disiram zikir, agar ia tumbuh subur dan memberi pulangan ketenangan serta redha
Allah yang utama. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti
tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati, tiga hati atau banyak
hati. Cinta yang didamba hingga ke penghujung, hanya bertahan di pertengahan,
terkulai dimamah usia cinta dosa yang dibelai.
Mengayam cinta bertakhtakan
iman. Cinta adalah perkataan yang indah dan suci sekiranya takwa menjadi benang
dalam menyulam cinta. Falsafah cinta menyebut ‘kita tidak sempurna tetapi
perkahwinan menyempurnakan kita’. Dalam menapak menaiki tangga menuju gerbang
perkahwinan, perancangan dan persediaan perlu kemas disusun. Sesungguhnya,
yang paling sukar adalah persediaan jiwa. Jiwa
perlu bersih, kuat, jernih, suci dan cekal untuk melangkah ke alam yang baru
ini.
Apabila si teruna dan dara diijabqabulkan maka terbinalah rumahtangga.
Mungkin inilah tafsiran kebanyakan orang apabila ditanyakan maksud rumahtangga.
Islam melihat rumahtangga lebih daripada itu. Bahkan Islam merupakan sistem
keluarga. Islam memandang rumahtangga sebagai tempat perlindungan, pertemuan
dan kediaman. Di bawah naungan rumahtangga, berlaku pertemuan di antara
hati-hati yang ditegakkan di atas tunjang kasih mesra, saling simpati, saling melindungi, saling berbudi,
juga ditegakkan di atas lunas menjaga
dan memelihara kesucian diri. Di bawah lindungan rumahtangga juga lahirnya anak-anak dan dari
rumahtangga memanjangnya tali
hubungan kasih sayang.
Al-Quran menggambarkan rumahtangga dengan gambaran yang
halus dan lembut, gambaran hubungan yang terpancar darinya rasa kasih mesra.
Gambaran hubungan yang memperlihatkan bayang yang teduh dan embun-embun yang
basah, dan gambaran hubungan yang melepaskan bau-bau yang semerbak harum.Ï
“Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai
kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati
dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan
kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah Ar-Ruum: 21)
Itulah hubungan di antara jiwa dengan jiwa, hubungan ketenteraman dan
kemantapan, hubungan kemesraan dan kasih sayang, malah dari ungkapan kata-kata
Al-Quran itu sendiri kita dapat merasakan perasaan kerinduan dan kemesraan.
Cinta dalam rumahtangga umpama
berada di sebuah taman yang mendamaikan. Islam menamakan
perkahwinan itu sebagai ‘Ihsan’ atau langkah pemeliharaan dan kawalan diri, dan
dengan itu sematlah dalam diri bahawa hidup tanpa kahwin atau tanpa kawalan
diri itu, walaupun dalam masa yang singkat, tidak mendapat keredhaan Allah.
Rasulullah SAW
ada bersabda: “Wahai para
pemuda! Barangsiapa antara kalian berkemampuan untuk berkahwin, maka nikahlah, kerana
nikah itu lebih menundukkan pandangan, dan lebih membentengi farji (kemaluan).
Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia puasa (shaum), kerana
shaum itu dapat membentengi dirinya”. (Hadith Sahih Riwayat Ahmad, Bukhari,
Muslim, Tirmidzi, Nasa’i, Darimi, Ibnu Jarud dan Baihaqi)
Cinta semata-mata tidak akan
mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta
tetapi disempurnakan oleh tanggungjawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan
perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah
apabila berdepan dengan ujian. ‘Perasaan’ adalah hamba yang baik tetapi tuan
yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan ‘bekerja’
untuk kita, bukan sebaliknya.
Akan tiba masanya, sesuatu
yang dilihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika hanya bergantung kepada
perasaan, cinta akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggungjawab
dan tanggungjawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas
rumahtangga, tanggungjawab akan datang menyelamatkan ‘pertunjukan’ dengan
peranan yang lebih berkesan.
“Islam adalah agama cinta. Dan mukmin tidak merasakan
manisnya iman sehingga ia merasakan hangatnya cinta.”
Dr Mahmud asy-Syarif, al-Hubb Fil Islam (Cinta dalam
Islam).
No comments:
Post a Comment