Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Monday, August 22, 2011

Lailatul Qadar.. SAAT AJAIB?

Ramai yang menyangka bahawa lailatul qadar ini satu malam yang penuh keajaiban. Saat langit gelap gelita di tengah malam dan bercahaya di kala subuh hampir menyingsing. Deru angin bak bertasbih memuji Allah swt. Pokok-pokok bergoyang menyembah Allah tatkala tiada angin yang menggoncang.. Ya, tanda-tanda ini ada dinukilkan sebagai pengalaman para sahabat, para ulama juga para auliya. Namun Ust Mohammad bin Abdullah (dalam rancangan tv9 'Tanyalah Ustaz') berkata ianya lebih kepada pandangan iman, deria hati yang kuat untuk merasa dan melihat keajaiban itu.

Friday, August 19, 2011

5 BULAN Berlalu Sudah...

Fuhh...(bile la nak update blog..bersawang dah..)
Haa! Nak update la ni..hehe :)

RAMADHAN 2011/1432H

Beza..memang berbeza..Berstatus seorang isteri, sambut bersama suami tersayang..sememangnya bulan puasa kali ini cukup bermakna. Cerita hidup baru yang belum pernah dilalui (ye la..sebelum ni kan bujang). Tambah pula, cuti kali ni banyak kali travel. Ulang-alik Bangi-Kulim-Bangi-Kulim. Penat memang penat tapi memori tu boleh jadi kenangan.
1 dan 2 Ramadhan, kami berada di Bangi (dari balik arituh).
3 dan 4 Ramadhan, duk di Kulim pula.
5 dan 6 Ramadhan, ziarah saudara di Kuantan.
7 hingga 15 Ramadhan, balik bangi semula.
16 hingga hari ni, berada di Kulim.

Sunday, August 29, 2010

RAMADHAN Kareem, ALLAHU Akram..

Allah swt telah berfirman dalam kitabNya yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah : 183)

Hakikat Taqwa

Kewajipan puasa itu tidak lain bertujuan membentuk jiwa yang bertaqwa kepada Allah swt, dalam erti kata lain mendidik muslimin menjadi mukminin yang muttaqin.

Baginda Nabi saw menceritakan rahsia yang tersembunyi di sebalik taqwa dengan sabda baginda:

Taqwa itu letaknya di sini.”Dengan menunjukkan ke dada baginda sebanyak 3 kali, kemudian Nabi saw bersabda lagi:

“Cukuplah seseorang itu melakukan kejahatan apabila dia memandang rendah saudara muslimnya. Setiap orang muslim itu diharamkan ke atasnya darah, harta, dan kehormatan saudara muslimnya”
(Sahih Muslim 16/120, Sunan Tirmizi 6/54)

Saturday, September 12, 2009

Dalil-Dalil LAILATUL QADAR

Malam Lailatul Qadar sunat dicari, ia merupakan suatu malam yg diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah swt. Malam itu sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah swt berfirman dlm Surah Al-Qadr, ayat 3 :
Maksudnya: "Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu malam"

Ertinya menghidupkan malam ini dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan (lebih kurang 84 tahun) yg tiada Lailatul Qadar, seperti sabda Nabi saw :
Maksudnya: "Sesiapa menghidupkan malam Lailatul Qadar kerana beriman serta mencari pahala yg dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa2 yg lalu"

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah ra bahawa Rasulullah saw apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan :
Maksudnya: "Rasulullah saw berusaha sedaya upaya dlm malam2 sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam2 lain"

Malam Lailatul Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah saw bersabda :
Maksudnya: "Carilah malam Lailatul Qadar pada sepuluh akhir Ramadhan dalam malam ganjil"

Pendapat terkuat mengikut para ulama bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah swt sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul Qadar pula jatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yg tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya" Daripada riwayat Muawiyah :
Maksudnya: "Bahawa Nabi sw telah bersabda dalam malam Lailatul Qadar iaitu malam ke-27"

Riwayat ini disokong oleh pendapat ibn Abbas yg mengatakan bahawa Surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yg ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yg dikembalikan kpd Lailatul Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith drp ibn Umar ra yg berbunyi :
Maksudnya: "Sesiapa yg mencari Lailatul Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yg ke-27, carilah kamu malam Lailatul Qadar pada malam yg ke-27"
 .
Aisyah ra bertanya kepada Rasulullah saw, katanya, "Ya Rasulullah saw andainya aku mendapati malam Lailatul Qadar, apakah doa yg patut aku bacakan? Rasulullah saw berdoa dengan doa :



Maksudnya: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunanMu untukku"
.
Sumber : JAIS

Thursday, September 10, 2009

Mencari LAILATUL QADAR

Dalam surah al-Qadr menegaskan bahawa al-Quran telah diturunkan dari Luh Mahfuz atau dari langit yang tertinggi ke langit dunia iaitu Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadar. Ini ditegaskan lagi dengan sebuah hadis daripada Ibn Abbas yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan kesemua sekali pada malam Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan ke langit dunia.
.
Menurut Hamka, Lailatul Qadar memberi dua maksud, pertama; kemuliaan kerana setengah dari erti qadr itu ialah kemuliaan; kedua bermaksud penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w didalam memberi pertunjuk kepada umat manusia. Kalau dipakai erti kemuliaan, maka mulai pada malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada nabi Muhammad s.a.w kerana itulah permulaan Malaikat Jibril menyatakan dirinya dihadapan baginda didalam gua Hira’. Pada malam itu perikemanusiaan diberi kemuliaan dikeluarkan dari zulumat/kegelapan kepada nur/cahaya petunjuk Allah.
.
Jika diberi erti penentuan bermaksud dimalam itu dimulai menentukan garis pemisah diantara kufur dengan iman, jahiliyah dengan Islam, syirik dengan tauhid. Dan penjelasan tersebut menunjukkan bahawa malam itu adalah malam yang istimewa berbanding dari segala malam. Malam yang membawa lembaran baru, turun wahyu ke dunia setelah terputus sekian lama.
.
Hari kebesaran dalam Islam banyak yang diperingati dan menjadi amal ibadat seperti berpuasa pada 10 Muharam atau Asyura kerana mengenangkan beberapa kejadian pada Nabi-nabi yang terdahulu pada tarikh tersebut. Begitu juga dalam manasik haji telah dikatikan dengan kejadian zaman lampau seperti Sa’i antara Bukit Safa dan Marwah, mengenangkan betapa sulitnya Hajar mencari air untuk anaknya, Ismail di lembah yang tidak ada tumbuh-tumbuhan. Kita juga disunatkan melontar Jamrah bagi memperingati perdayaan syaitan kepada nabi Ibrahim kerana akan menyembelih puteranya Ismail atas perintah Allah. Apabila dikaitkan dengan menghidupkan malam Lailatul Qadar dapatlah diambil kesimpulan bahawa kesemua ibadat tersebut mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk membesarkan syiar Allah dan menambah taqwa dalam diri.
.
Perbincangan panjang lebar diantara ahli-ahli Hadis, mengenai dengan malam apakah yang tepat Lailatul Qadar itu berlaku. Dalam kitab ‘Fath al-Basri’ menurunkan tidak kurang dari 45 qaul tentang malam terjadinya Lailatul Qadar, masing-masing menurut pengalaman dengan catatan Ulama-ulama yang merawikannya, sejak dari malam 1 Ramadhan sampai 29 atau malam 30 Ramadhan. Semuanya dinukilkan oleh as-Syaukani di dalam `Nailul-Authar’nya.
.
Oleh itu, dianjurkanlah supaya setiap malam bulan Ramdhan diisikan penuh dengan ibadat. Bagaimanapun terdapat juga riwayat yang kuat menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu ialah pada malam sepuluh yang akhir dari Ramadhan ertinya sejak malam 21, kerana sejak malam 21 itu nabi s.a.w lebih memperkuat ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya sampai beliau bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.
.
Abdullah bin Mas`ud dan asy-Sya`bi dan al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahawa malam itu ialah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka ialah kerana ada hadis yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.
.
Satu riwayat lagi menyatakan jatuhnya ialah pada 17 Ramadhan. Orang yang berpegang pada 17 Ramadhan ini mengambil istimbath daripada ayat 41 dari surah an-Anfal kerana di sana tersebut bermaksud;
‘ dan apa yang Kami turunkan kepada Hamba Kami pada Pemisahan hari bertemu dua golongan’
.
`Hari bertemu dua golongan’ ialah dalam peperangan Badar, pada 17 Ramadhan sedang `hari pemisahan’ ialah hari turunnya al-Quran yang pertama yang disebut juga malam yang diberi berkat sebagaimana tersebut didalam surah 44 ad-Dukhan. Maka oleh kerana berhadapan dua golongan di Perang Badar itu, golongan Islam dan golongan Musyrikin terjadi pada 17 Ramadhan, mereka menguatkan bahawa Lailatul Qadar mulai turunnya al-Quran di gua Hira ialah 17 Ramadhan pula meskipun jarak waktunya adalah 15 tahun.
.
Banyak hadis-hadis yang menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam yang ganjil sepuluh terakhir dalam bulan Ramadhan, dan ada pendapat hadis yang menetapkan pada malam 27.
.
Ada diceritakan terdapat dikalangan sahabat Rasulullah merasa hairan dengan cerita seorang lelaki dari bani Israel beribadat sepanjang malam kemudian berjihad menentang musuh diwaktu siang dan melakukannya selama seribu bulan. Dalam cerita lain menyatakan seramai empat orang dari bani Israel beribadat kepada Tuhan selama lapan puluh tahun dan mereka tidak melakukan maksiat atau keingkaran. Datang Jibrail kepada nabi bertanyakan samada umatnya hairan dengan ibadat mereka itu. Allah telah menurunkan yang lebih baik dari itu, lalu dibaca surah al-Qadr. Dinyatakan juga bahawa pemerintah nabi Sulaiman dan Zulqarnain selama lima ratus bulan. Maka Tuhan jadikan amalan pada malam Lailatul Qadar (bagi mereka yang mendapatnya) lebih dari tempoh kedua pemerintahan tersebut dan lebih baik dari seribu malam amalan lelaki bani Israel itu.
.
Mengikut Anas daripada nabi menyatakan bahawa Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada umatku (Muhammad) Lailatul Qadar dan tidak diberikan kepada umat sebelumnya.
.
Keistimewaan lain yang berlaku pada malam Lailatul Qadar dinyatakan dalam ayat 4 surah al-Qadr yang menjelaskan bahawa malaikat dan roh turun pada malam itu dengan keizinan Tuhan. Yang dimaksudkan dengan `roh’ ialah malaikat Jibrail dan ini pendapat jumhur ulama. Ia disebut secara khusus kerana kemuliannya.
.
Malaikat turun dari martabat mereka yang tinggi untuk mengucap `salam’ kepada orang mukmin. Para malaikat yang ramai itu pergi mengunjungi tempat kediaman orang mukmin, kecuali rumah yang terdapat didalamnya anjing, khinzir, arak dan patung. Mereka megucup tasbih dan memohon keampunan bagi umat Muhammad s.a.w sehinggalah sampai waktu fajar barulah mereka naik semula ke langit. Melihat ini bertasbih memuji Allah s.w.t justeru syukur mereka kepada Allah yang telah melimpahkan keampunan kepada umat Muhammad s.a.w.
.
Pada malam tersebut Allah s.w.t telah melipatkan rahmatnya kepada seluruh orang mukmin yang masih hidup dan juga kepada yang telah mati. Betapa pemurahnya Allah kepada hambaNya.
.
Jika kita mengamati hadis dari Anas bin Malik yang menyatakan, ‘barangsiapa yang menunaikan solat maghrib dan isyak berjamaah sepanjang bulan Ramadhan sesungguhnya dia telah mendapat sebahagian dari Lailatul Qadar’. Bermaksud bukanlah suatu yang amat sukar untuk mendapatkan sebahagian dari malam Lailatul Qadar. Yang penting kita tidak mengabaikan mana-mana malam di bulan Ramadhan kecuali dengan melakukan ibadat dan paling minimum sembahyang berjamaah pada waktu maghrib dan isyak.
.
Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Memberi erti kebaikan menyelubungi sepanjang malam Lailatul Qadar. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai yang tidak ambil berat tentang malam Lailatul Qadar, namun ia tetap datang disetiap bulan Ramadhan.
.
Sumber : IKIM

Monday, September 7, 2009

NUZUL AL-QURAN Ubah Sikap Muslim





Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.
.
Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri. Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu mengubah sikap manusia kepada sesuatu yang baik dalam hidup mereka.
.
Sayidina Umar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.
.
Yang menariknya, Sayidina Umar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha. Sayidina Umar menjadi seorang Muslim yang amat bertakwa dan yakin dengan Islam. Setelah mengucap, beliau terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal. Umat Islam yang soleh seperti Saidina Umar dan umat Islam akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.
.
Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi surah Fatiir ayat 32:
.
Maksud: Kemudian Kami wariskan Al-Qur'an itu kepada orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan ada yang mendahului dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.”
.
Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun) sedangkan penganut agama lain menolak kebenaran al-Quran secara mutlak. Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:
.
Pertama :      Golongan yang menganiayai diri mereka sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramal dengan perintah Allah di dalamnya.
.
Kedua :          Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.
.
Ketiga :          Golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti tekun solat, tidak minum arak, tidak berzina dan tidak menderhaka kepada Allah kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.
.
Kini terserah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara ketiga-tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas. Sesungguhnya peluang untuk membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Orang bukan Islam tidak akan membaca al-Quran melainkan mereka hendak mendekati dan memahami Islam. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah melontarkan soalan kepada Muslim yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran:
.
Maksudnya : Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur'an), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).
.
Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk Allah, justeru mereka ingkar kepada ayat Allah akan menjadi kafir.
.
Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh. Dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk kita ke arah yang lebih diredhai Allah s.w.t. . Sumber : JAKIM

Thursday, September 3, 2009

Nikmat RAMADHAN & KEMERDEKAAN


Syukur Alhamdulillah, 31 Ogos tahun ini jatuh pada 10 Ramadhan..Erti kemerdekaan kali ini amat besar pada saya. Berada dalam madrasah Ramadhan, diri ini ditarbiyah supaya memerdekakan diri daripada hambatan nafsu juga hasutan syaitan yg dilaknat. Apakah erti negara merdeka andai diri masih lagi dijajah nafsu? Persoalan yg bukan mahukan jawapan tetapi tindakan. Amal2 soleh harus segera dipertingkat agar barakah Ramadhan ini menyerap ke dalam jiwa bukan sahaja untuk bulan ini malah untuk bulan2 seterusnya..Semoga erti kemerdekaan lebih bermakna pabila jiwa2 merdeka menerajui negara merdeka..
Ameen...
 
Nabi SAW bersabda :
Ertinya : “Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" (Riwayat At-Tirmidzi)
.
Disebut dalam sebuah hadis lain, Ertinya : “Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa (berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga" (Riwayat Al-Baihaqi)
.
Mesra Ramadhan Bersama Anak Yatim
.
Pada 7 Ramadhan, saya berkesempatan berbuka puasa bersama anak2 yatim Darul Izzah, Bangi anjuran Perubatan..Majlis diadakan penuh sederhana..buka puasa, solat maghrib, isyak, dan tarawikh berjamaah..juga penyerahan sumbangan daripada warga Perubatan..
Walaupun mereka terdiri daripada adik2 lelaki sahaja namun, mereka tetap ramah melayan kakak2 yg hadir..Dek melayan kerenah adik2 ni, saya pulang ke rumah pada pukul 10.45 malam..diorang memang banyak celoteh..terhibur hati...semoga kita bertemu lagi..
.