Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Wednesday, July 14, 2010

Sifat ZUHUD Nabi saw Cairkan Sikap Kuffar

PENGHAYATAN SURAH AL-AN'AM


Firman Allah bermaksud, " Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik." (Surah al-An'am :49)

Ertinya, mereka yang mendustakan (mengkufuri) al-Quran (ayat-ayat keterangan yang dapat dibaca) yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dan ayat-ayat keterangan yang dapat dilihat (alam yang menjadi hujah mengenai keagungan dan kekuasaan Allah) dengan mata mereka sendiri, mereka akan dikenakan azab seksa yang pedih daripada sebab kejahatan dan kekufuran yang mereka lakukan terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya s.a.w.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w): "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku." (Surah al-An'am : 50)

Sunday, April 4, 2010

Mabuk CINTA Terhadap Allah

Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Apabila pemuda tersebut melihat Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, “Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepadaNya”. Berkata Nabi Isa a.s, “Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk satu Jarrah itu”. Pemuda itu berkata lagi, “Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah”.

Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah s.w.t, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, “Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepadaMu”. Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.

Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda tersebut, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan salah seorang yang berada di situ berkata bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.

Setelah Nabi Isa a.s mendengar penjelasan orang-orang di situ, maka beliau pun berdoa kepada Allah s.w.t, “Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu”. Selesai sahaja berdoa, maka Nabi Isa a.s pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.

Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa a.s berkata, “Aku ini Isa a.s”. Kemudian Allah s.w.t menurunkan wahyu yang berbunyi, “Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepadaKu. Demi Keagungan dan KeluhuranKu, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya”.

Barangsiapa yamg mengakui 3 perkara tetapi tidak menyucikan diri dari 3 perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu :

1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.

2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia.

3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.


Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Akan datang waktunya umatku akan mencintai 5 lupa kepada yang 5 :

1. Mereka cinta kepada dunia, tetapi mereka lupa kepada akhirat.

2. Mereka cinta kepada harta benda, tetapi mereka lupa kepada al-hisab.

3. Mereka cinta kepada makhluk, tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq.

4. Mereka cinta kepada dosa, tetapi mereka lupa untuk bertaubat.

5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah, tetapi mereka lupa kepada kubur.

Monday, March 15, 2010

Sub 2: BERSEDIA Sebelum Musuh Bersatu

.
Bumi terus berputar, masa terus beredar, zaman terus bertukar namun, situasi yang mendepani umat Islam era ini tidak jauh beza dengan kondisi yang dihadapi Rasulullah saw dan para sahabat 1400 tahun sebelum ini. Jika dahulu wujud musyrikin Quraisy dengan segala daya mahu memadamkan cahaya Islam, begitu jugalah yang berlaku saat ini. Dakwah Islam ditentang semampu tenaga yang ada. Usaha untuk melaksanakan syariat Islam sebagai landasan hukum akan segera dihalang. Permusuhan golongan ini jelas kerana dasar ideologi mereka bukan Islam.

Muncul juga golongan lain yang tidak rela umat Islam berkuasa. Bukan hanya kerana perasaan iri dan dengki, tetapi jua takut jika mereka tidak mendapat sebarang kedudukan. Keinginan mereka seperti keinginan yahudi. Mereka ingin berkuasa sebagaimana mereka telah berkuasa sebelumnya.

Golongan seterusnya adalah suatu kelompok yang mendukung Islam secara lahiriah. Walaubagaimanapun, realitinya mereka tidak mahu kaum muslimin berkuasa. Boleh jadi nama kelompoknya adalah Islam, tetapi visi, misi dan sasaran perjuangan mereka bukan demi Islam. Oleh itu, segala usaha penerapan Islam perlu dicantas. Tujuan mereka terjun ke dunia siasah hanyalah untuk mengejar jawatan dan kekuasaan. Ada agenda yang ingin mereka kejarkan.

“Berusaha menangguk di air keruh”. Konsep peribahasa yang persis dengan golongan terakhir. Secara prinsip mereka tidak bermusuhan langsung dengan Islam namun, kebimbangan mereka jika kaum muslimin berkuasa, mereka tidak memperoleh kekuasaan ataupun mereka tersingkir.

Ajaran Islam akan terus dihalang. Musuh-musuh Islam tidak segan-segan mengganggu kaum muslimin sama ada melalui pemikiran, lisan, juga fizikal. Umat Islam perlu lebih berhati-hati. Dengan membawa fahaman sosialisma, liberalisma, komunisma, dan sekularisma, golongan ini tidak akan bergerak sendiri-sendiri. Kewaspadaan umat Islam harus dipertingkatkan. Sebab, mereka akan bersatu.

Kisah Perang Khandaq memaparkan kerjasama kafir Quraisy, yahudi, munafiq dan kabilah-kabilah di sekitar Madinah. Perbezaan ideology bukan alasan bagi mereka untuk berpecah. Jika tiba saatnya, kesatuan wujud diantara mereka untuk menghalang umat Islam. Jika dahulu, kewibawaan kaum muslimin sangat-sangat dijaga. Apa jua usaha untuk melenyapkan kaum muslimin tidak akan dibiarkan muncul. Ini yang harus dilakukan. Umat Islam tidak boleh tertipu. Setiap gerakan berbahaya yang timbul di permukaan, patut dicegah sebelum ianya berkembang biak. Kewibawaan umat Islam harus diperkasa. Agar ketika musuh bersatu datang menyerang, umat Islam sudah bersedia menghalang.


Sumber: Belajar Dari Dua Umar, Ar-Raheequl Makhtum

Sunday, March 14, 2010

Sub1: BERSEDIA Sebelum Musuh Bersatu

.
Dalam arena perjuangan Islam, kita tidak boleh lari daripada diuji dari segenap penjuru. Jalan dihadapan kita bukanlah hamparan permaidani merah yang menjanjikan nama dan harta. Jalan yang dilalui hakikatnya penuh mehnah dan tribulasi. Ujian hadir dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan dan hanya orang yang hatinya ikhlas dalam memperjuangkan Islam sahaja yang akan terus thabat menempuhinya.


Imam Hassan al-Banna memegang erat tangan Umar at-Tilmisani (Mursyid 'Am ke3) lalu berbicara mengajaknya barada dalam satu saf perjuangan, “Kamu mahu atau tidak? Kalau kamu mahu, aku jamin di hadapanmu adalah tentangan. Kalau kamu tak mahu, terpulanglah kepadamu”. Tanpa ragu, Umar at-Tilmisani membalas,”aku mahu”. Sesungguhnya hati mereka yang yakin akan janji Allah, tiada tembok yang boleh menjadi penghalang daripadanya terus mara mendepani musuh-musuh Islam.

Sirah Rasulullah saw dan para sahabat melakarkan seribu satu realiti tarbiyah berterusan para pejuang Islam dalam menegakkan syiarNya di muka bumi ini. Musuh-musuh Islam berada di mana-mana menanti peluang untuk memadamkan api perjuangan yang dibawa oleh Muhammad saw serta pengikut Baginda. Pasca Perang Badar memperlihatkan empat kelompok yang tidak senang dengan kemenangan kaum muslimin.


Pertama, mereka yang secara langsung mendapat kerugian iaitu kaum musyrikin Mekah.

Kedua, orang yang memandang kemuliaan dan kemenangan kaum muslimin sebagai pukulan maut terhadap agama dan ekonomi mereka. Mereka adalah kelompok yahudi Madinah dan terikat dengan perjanjian damai dengan kaum muslmin melalui Piagam Madinah.

Ketiga, orang-orang munafiq. Mereka merasa disaingi dengan kehadiran Rasulullah saw dan para sahabat di Madinah. Kemarahan Abdullah bin Ubay dan teman-temannya ini sebenarnya lebih besar daripada dua kelompok di atas. Secara zahir, mereka sama dengan kaum muslimin namun, secara batin api amarah dan benci sedang marak menyala dalam jiwa mereka.

Keempat, kabilah-kabilah yang tinggal di sekitar Madinah. Masalah kekufuran dan keimanan bukanlah perhatian mereka. Mereka ini hanya khuatir jika Madinah berdiri sebagai suatu negara yang kuat yang mampu mengganggu gugat kewujudan mereka.


Keempat-empat kelompok ini tidak bergerak sendiri. Dalam banyak hal mereka bekerjasma asalkan matlamat mereka tercapai dan kepentingan mereka terjaga. Menyedari hakikat ini, kewaspadaan kaum muslimin harus diletakkan pada tahap yang tinggi. Kecerdasan dan kepimpinan Rasulullah saw terserlah apabila strategi pertama yang Baginda lakukan adalah menjaga kewibawaan kaum muslimin. Tidak boleh ada suatu kesempatan kecil untuk musuh datang menjengah yang boleh mengurangi kewibawaan mereka. Sekecil mana gerakan yang muncul harus segera dipadamkan.


Pasukan Bani Salim daripada kabilah Ghaftan yang bercita-cita menyerang Madinah dihapuskan oleh kaum muslimin. Yahudi Bani Qainuqa’ diusir dari Madinah kerana mengganggu ketenteraman kaum muslimin secara berterusan. Abu Sufyan dan pasukannya yang bermaksud menyusup ke Madinah dikejar sehingga mereka lari bertempiaran meninggalkan ‘sawiq’(tepung) dalam Perang Sawiq. Beberapa orang yahudi yang mempersendakan Islam seperti Abu Afak, Asma binti Marwan, Ibn Sunainah dan Ka’ab bin Asyraf pun dibunuh.


BERSAMBUNG...


Sumber : Buku 'Belajar Dari Dua Umar' -Hepi Andi Bastoni

Tuesday, October 13, 2009

Sub3: Hanya RANTAIAN Perjuangan

Anis, aku ingin berkongsi dua kisah,

Pertama, mengenai kisah Assyahid Imam Hassan AlBanna
kedua kisah sahabatku di Indonesia
Moga kedua-dua kisah ini dapat kita renungkan bersama

Menjadi motivasi buat kita untuk terus
berada dalam jalan ini.

Anis, kau pastinya arif mengenai Assyahid Imam Hassan AlBanna.

Dakwahnya menyinari hati umat manusia di saat itu
Dia berdakwah sehingga ke kawasan perkampungan di gunung-gunung yang tinggi
Semua manusia mengenalinya.

Tanyakan sahaja di jalanan di saat itu, kenalkah kamu dengan Assyahid Imam Hassan Al Banna, pasti semua mengenalinya kerana kerja kerasnya di dalam perjuangan dakwah .

Anis, aku akui sememangnya untuk berjaya dalam pelajaran, kita kena berusaha.

Itu Sunnatullah. Tapi Anis, kemenangan Islam takkan tertegak dengan kata-kata, dengan mimpi sahaja.

Untuk memastikan kejayaan dakwah, kita juga kena berusaha.
Itu juga adalah Sunnatullah. Kemenangan Islam memerlukan pengorbanan dari pengikutnya.

Anis, aku kongsikan pembacaanku dalam buku Detik-detik Hidupku karangan
Assyahid Imam Hassan Al Banna:

Itulah rahsia kejayaan seorang Mukmin.
Seorang sahabat di Indonesia pernah bercerita mengenai pelajarannya.
Alhamdulillah, dia memperolehi yang terbaik.
Dia ingin mempertahankan prestasi terbaik untuk Allah, agama Allah.
Di sudut lainnya, dia tidak suka mengejar dunia, bersaing untuk berasa hebat.
Dia hanya ingin memberikan yang terbaik sebagai hamba Allah.

Dahulu dia bukan begitu. Dia pernah kecundang. Dia pernah bertanya kepada Allah – Ya Allah, kenapa engkau mentakdirkan prestasi yang baik buat temanku?
Apakah temanku itu punya alasan yang kuat sehingga Engkau menolongnya.


Aku mempunyai mimpi yang besar untuk menegakkan agamaMu melalui pergerakan dakwah.Maka aku mohon bahawa aku harus berjaya.

Lalu Allah memberitahu dirinya melalui suatu kisah sahabat yang dijamin masuk syurga, padahal seharian ibadahnya sama saja seperti sahabat yang lain.

Dan ketika ditanya prinsip hidupnya, sahabat itu menjawab "Aku tak suka membanding-bandingkan apa yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya. Aku yakin Allah Maha Baik dan menjamin kebaikan untukku dalam situasi sulit atau lapang. Aku akan tetap redha kepada Allah dalam situasi apapun. Aku akan tetap bersaksi bahawa Allah adalah Robb yang Maha Esa, meskipun segunung harta itu milikku atau aku tak punya harta sedikit pun".

Sejarah menunjukkan kita bahawa rupa paras bukan persoalan utama.
Ingat lagi tentang Abdullah bin Ummi Makhtum. Dia sahabat nabi yang buta.
Dia mahu membawa panji bendera Islam. Katanya, buta menyebabkan dia tidak takut kerana dia tidak akan dapat melihat bilangan musuh.
Akhirnya dia syahid. Mereka yang menemui mayatnya tidak dapat mengecamnya kerana terlalu banyak luka parah yang dialaminya. Subhanallah.

Pasti Anis ingat lagi Assyahid Sheikh Ahmad Yassin. Dia cacat. Duduk di atas kerusi roda. Tapi apa yang telah dia lakukan? HAMAS berdiri dengan izzah. Musuh menggeruninya.

Anis, kita sempurna. Ayuh lakukan sesuatu untuk Islam.
Ayuh berada dalam saf perjuangan.

"Kamu (umat islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [surah ali imran : 110]

Kita hanya mata rantai syuhada’ silam
Menuju syahid melalui jalan perjuangan

Sumber: pu3raudhah.blogspot.com

Saturday, September 12, 2009

Dalil-Dalil LAILATUL QADAR

Malam Lailatul Qadar sunat dicari, ia merupakan suatu malam yg diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah swt. Malam itu sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah swt berfirman dlm Surah Al-Qadr, ayat 3 :
Maksudnya: "Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu malam"

Ertinya menghidupkan malam ini dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan (lebih kurang 84 tahun) yg tiada Lailatul Qadar, seperti sabda Nabi saw :
Maksudnya: "Sesiapa menghidupkan malam Lailatul Qadar kerana beriman serta mencari pahala yg dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa2 yg lalu"

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah ra bahawa Rasulullah saw apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan :
Maksudnya: "Rasulullah saw berusaha sedaya upaya dlm malam2 sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam2 lain"

Malam Lailatul Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah saw bersabda :
Maksudnya: "Carilah malam Lailatul Qadar pada sepuluh akhir Ramadhan dalam malam ganjil"

Pendapat terkuat mengikut para ulama bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah swt sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul Qadar pula jatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yg tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya" Daripada riwayat Muawiyah :
Maksudnya: "Bahawa Nabi sw telah bersabda dalam malam Lailatul Qadar iaitu malam ke-27"

Riwayat ini disokong oleh pendapat ibn Abbas yg mengatakan bahawa Surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yg ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yg dikembalikan kpd Lailatul Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith drp ibn Umar ra yg berbunyi :
Maksudnya: "Sesiapa yg mencari Lailatul Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yg ke-27, carilah kamu malam Lailatul Qadar pada malam yg ke-27"
 .
Aisyah ra bertanya kepada Rasulullah saw, katanya, "Ya Rasulullah saw andainya aku mendapati malam Lailatul Qadar, apakah doa yg patut aku bacakan? Rasulullah saw berdoa dengan doa :



Maksudnya: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunanMu untukku"
.
Sumber : JAIS

Thursday, September 10, 2009

Mencari LAILATUL QADAR

Dalam surah al-Qadr menegaskan bahawa al-Quran telah diturunkan dari Luh Mahfuz atau dari langit yang tertinggi ke langit dunia iaitu Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadar. Ini ditegaskan lagi dengan sebuah hadis daripada Ibn Abbas yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan kesemua sekali pada malam Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan ke langit dunia.
.
Menurut Hamka, Lailatul Qadar memberi dua maksud, pertama; kemuliaan kerana setengah dari erti qadr itu ialah kemuliaan; kedua bermaksud penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w didalam memberi pertunjuk kepada umat manusia. Kalau dipakai erti kemuliaan, maka mulai pada malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada nabi Muhammad s.a.w kerana itulah permulaan Malaikat Jibril menyatakan dirinya dihadapan baginda didalam gua Hira’. Pada malam itu perikemanusiaan diberi kemuliaan dikeluarkan dari zulumat/kegelapan kepada nur/cahaya petunjuk Allah.
.
Jika diberi erti penentuan bermaksud dimalam itu dimulai menentukan garis pemisah diantara kufur dengan iman, jahiliyah dengan Islam, syirik dengan tauhid. Dan penjelasan tersebut menunjukkan bahawa malam itu adalah malam yang istimewa berbanding dari segala malam. Malam yang membawa lembaran baru, turun wahyu ke dunia setelah terputus sekian lama.
.
Hari kebesaran dalam Islam banyak yang diperingati dan menjadi amal ibadat seperti berpuasa pada 10 Muharam atau Asyura kerana mengenangkan beberapa kejadian pada Nabi-nabi yang terdahulu pada tarikh tersebut. Begitu juga dalam manasik haji telah dikatikan dengan kejadian zaman lampau seperti Sa’i antara Bukit Safa dan Marwah, mengenangkan betapa sulitnya Hajar mencari air untuk anaknya, Ismail di lembah yang tidak ada tumbuh-tumbuhan. Kita juga disunatkan melontar Jamrah bagi memperingati perdayaan syaitan kepada nabi Ibrahim kerana akan menyembelih puteranya Ismail atas perintah Allah. Apabila dikaitkan dengan menghidupkan malam Lailatul Qadar dapatlah diambil kesimpulan bahawa kesemua ibadat tersebut mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk membesarkan syiar Allah dan menambah taqwa dalam diri.
.
Perbincangan panjang lebar diantara ahli-ahli Hadis, mengenai dengan malam apakah yang tepat Lailatul Qadar itu berlaku. Dalam kitab ‘Fath al-Basri’ menurunkan tidak kurang dari 45 qaul tentang malam terjadinya Lailatul Qadar, masing-masing menurut pengalaman dengan catatan Ulama-ulama yang merawikannya, sejak dari malam 1 Ramadhan sampai 29 atau malam 30 Ramadhan. Semuanya dinukilkan oleh as-Syaukani di dalam `Nailul-Authar’nya.
.
Oleh itu, dianjurkanlah supaya setiap malam bulan Ramdhan diisikan penuh dengan ibadat. Bagaimanapun terdapat juga riwayat yang kuat menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu ialah pada malam sepuluh yang akhir dari Ramadhan ertinya sejak malam 21, kerana sejak malam 21 itu nabi s.a.w lebih memperkuat ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya sampai beliau bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.
.
Abdullah bin Mas`ud dan asy-Sya`bi dan al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahawa malam itu ialah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka ialah kerana ada hadis yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.
.
Satu riwayat lagi menyatakan jatuhnya ialah pada 17 Ramadhan. Orang yang berpegang pada 17 Ramadhan ini mengambil istimbath daripada ayat 41 dari surah an-Anfal kerana di sana tersebut bermaksud;
‘ dan apa yang Kami turunkan kepada Hamba Kami pada Pemisahan hari bertemu dua golongan’
.
`Hari bertemu dua golongan’ ialah dalam peperangan Badar, pada 17 Ramadhan sedang `hari pemisahan’ ialah hari turunnya al-Quran yang pertama yang disebut juga malam yang diberi berkat sebagaimana tersebut didalam surah 44 ad-Dukhan. Maka oleh kerana berhadapan dua golongan di Perang Badar itu, golongan Islam dan golongan Musyrikin terjadi pada 17 Ramadhan, mereka menguatkan bahawa Lailatul Qadar mulai turunnya al-Quran di gua Hira ialah 17 Ramadhan pula meskipun jarak waktunya adalah 15 tahun.
.
Banyak hadis-hadis yang menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam yang ganjil sepuluh terakhir dalam bulan Ramadhan, dan ada pendapat hadis yang menetapkan pada malam 27.
.
Ada diceritakan terdapat dikalangan sahabat Rasulullah merasa hairan dengan cerita seorang lelaki dari bani Israel beribadat sepanjang malam kemudian berjihad menentang musuh diwaktu siang dan melakukannya selama seribu bulan. Dalam cerita lain menyatakan seramai empat orang dari bani Israel beribadat kepada Tuhan selama lapan puluh tahun dan mereka tidak melakukan maksiat atau keingkaran. Datang Jibrail kepada nabi bertanyakan samada umatnya hairan dengan ibadat mereka itu. Allah telah menurunkan yang lebih baik dari itu, lalu dibaca surah al-Qadr. Dinyatakan juga bahawa pemerintah nabi Sulaiman dan Zulqarnain selama lima ratus bulan. Maka Tuhan jadikan amalan pada malam Lailatul Qadar (bagi mereka yang mendapatnya) lebih dari tempoh kedua pemerintahan tersebut dan lebih baik dari seribu malam amalan lelaki bani Israel itu.
.
Mengikut Anas daripada nabi menyatakan bahawa Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada umatku (Muhammad) Lailatul Qadar dan tidak diberikan kepada umat sebelumnya.
.
Keistimewaan lain yang berlaku pada malam Lailatul Qadar dinyatakan dalam ayat 4 surah al-Qadr yang menjelaskan bahawa malaikat dan roh turun pada malam itu dengan keizinan Tuhan. Yang dimaksudkan dengan `roh’ ialah malaikat Jibrail dan ini pendapat jumhur ulama. Ia disebut secara khusus kerana kemuliannya.
.
Malaikat turun dari martabat mereka yang tinggi untuk mengucap `salam’ kepada orang mukmin. Para malaikat yang ramai itu pergi mengunjungi tempat kediaman orang mukmin, kecuali rumah yang terdapat didalamnya anjing, khinzir, arak dan patung. Mereka megucup tasbih dan memohon keampunan bagi umat Muhammad s.a.w sehinggalah sampai waktu fajar barulah mereka naik semula ke langit. Melihat ini bertasbih memuji Allah s.w.t justeru syukur mereka kepada Allah yang telah melimpahkan keampunan kepada umat Muhammad s.a.w.
.
Pada malam tersebut Allah s.w.t telah melipatkan rahmatnya kepada seluruh orang mukmin yang masih hidup dan juga kepada yang telah mati. Betapa pemurahnya Allah kepada hambaNya.
.
Jika kita mengamati hadis dari Anas bin Malik yang menyatakan, ‘barangsiapa yang menunaikan solat maghrib dan isyak berjamaah sepanjang bulan Ramadhan sesungguhnya dia telah mendapat sebahagian dari Lailatul Qadar’. Bermaksud bukanlah suatu yang amat sukar untuk mendapatkan sebahagian dari malam Lailatul Qadar. Yang penting kita tidak mengabaikan mana-mana malam di bulan Ramadhan kecuali dengan melakukan ibadat dan paling minimum sembahyang berjamaah pada waktu maghrib dan isyak.
.
Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Memberi erti kebaikan menyelubungi sepanjang malam Lailatul Qadar. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai yang tidak ambil berat tentang malam Lailatul Qadar, namun ia tetap datang disetiap bulan Ramadhan.
.
Sumber : IKIM

Monday, September 7, 2009

NUZUL AL-QURAN Ubah Sikap Muslim





Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.
.
Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri. Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu mengubah sikap manusia kepada sesuatu yang baik dalam hidup mereka.
.
Sayidina Umar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.
.
Yang menariknya, Sayidina Umar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha. Sayidina Umar menjadi seorang Muslim yang amat bertakwa dan yakin dengan Islam. Setelah mengucap, beliau terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal. Umat Islam yang soleh seperti Saidina Umar dan umat Islam akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.
.
Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi surah Fatiir ayat 32:
.
Maksud: Kemudian Kami wariskan Al-Qur'an itu kepada orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan ada yang mendahului dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.”
.
Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun) sedangkan penganut agama lain menolak kebenaran al-Quran secara mutlak. Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:
.
Pertama :      Golongan yang menganiayai diri mereka sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramal dengan perintah Allah di dalamnya.
.
Kedua :          Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.
.
Ketiga :          Golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti tekun solat, tidak minum arak, tidak berzina dan tidak menderhaka kepada Allah kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.
.
Kini terserah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara ketiga-tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas. Sesungguhnya peluang untuk membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Orang bukan Islam tidak akan membaca al-Quran melainkan mereka hendak mendekati dan memahami Islam. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah melontarkan soalan kepada Muslim yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran:
.
Maksudnya : Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur'an), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).
.
Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk Allah, justeru mereka ingkar kepada ayat Allah akan menjadi kafir.
.
Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh. Dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk kita ke arah yang lebih diredhai Allah s.w.t. . Sumber : JAKIM

Thursday, April 23, 2009

Iktibar HUNAIN


Dalam fatrah imtihan ini, sudah tentulah kita semua busy dgn jadual study masing-masing. Harapnya, kesibukan itu tidaklah melupakan kita terhadap hala tuju hidup yg kita susuri berlandaskan Islam ini. Jangan pula cita-cita dunia dikejar, sedang matlamat akhirat ditolak tepi. Imtihan dunia itu hanyalah ujian Allah swt terhadap hambaNya dan imtihan akhirat itu jua yg harus diutamakan.

Walau banyak mana pun buku dikhatamkan, walau banyak mana pun latihan yg dibuat, walau geliga mana pun otak menghafal, jangan over confident! Apa yg penting setelah berusaha gigih ialah nusrah Allah swt. Letakkanlah kebergantungan kpd Allah swt itu lebih tinggi berbanding keyakinan diri.

Over Confident

Jika kita over confident dalam menempuh perjuangan exam ini, jadilah kita umpama tentera-tentera Islam yg over confident dlm perjuangan Hunain.

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan jua di medan perang Hunain, Iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai, maka bilangan yang ramai itu sekali-kali tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun, dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran), dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.

= Surah at-Taubah : 25 – 26 =


Tentera Hunain

Sirah zaman Rasulullah saw ini memaparkan 12 ribu tentera Islam turun ke medan perang dipimpin oleh Rasulullah saw. Jika nak dibandingkan dgn peperangan lain sebelumnya, peperangan Hunain ini melakar sejarah kehebatan Islam dgn jumlah tentera yg sangat besar, yg pernah dikepalai oleh baginda Rasulullah saw.

Berhadapan dgn musuh drp Bani Hawazin dan Bani Thaqif, tentera Islam ketika itu berasa sangat yakin mereka akan beroleh kemenangan. Lantas, persediaan dilakukan bagai melepaskan batuk di tangga, strategi diatur atas pagar sahaja, kelengkapan senjata dipandang sebelah mata..

Dek sikap over confident tersebut, mereka lupa untuk bergantung harap kpd Allah swt, sebaik-baik Perancang. Akibat memandang rendah kekuatan musuh, tentera Islam menjadi kacau-bilau pd awal peperangan lagi. Akhirnya, Allah swt menghantar tenteraNya yg tak dapat dilihat untuk mengalahkan musuh demi agamaNya. Sudah tercatat dlm taqdir, Islam menang dengan izinNya.

Rendah Diri

Sehebat mana pun diri kita, ingatlah ada lg yg Maha Hebat. Jauhi pemikiran tentera Hunain, kita tak mahu jadi spt mereka. Suratan Ilahi tiada siapa yg tahu. Oleh itu, sentiasalah rasa rendah diri, kita hanya hamba yg lemah..

Perjuangan kita suci..perjuangan menuntut ilmu demi agamaNya. Jangan landasinya dgn emosi, amarah semata. Biarlah ia didasari niat yg ikhlas dan amalan yg tulus. Mumtaz atau tidak, persoalan kedua. Apa yg penting, perjuangan kita tidak tersasar dr landasan. Jangan kita gagal menghadapai ujian Allah swt melawan nafsu, demi mencapai kejayaan dunia.

Matlamat kita murni..matlamat menegakkan syariatNya di muka bumi ini. Ayuh! Berusahalah bersungguh-sungguh dan letakkanlah pergantungan hanya pd Allah swt, yakini ketentuanNya..
.
Fikir-fikirkanlah...
.